-

Tuesday 24 January 2012

SIAPA MUHAMMAD ? ?

assalamualaikum..

kenali pekerti nabi muhammad yang kita sangjung..moh mmbace

CARA JALAN, BERCAKAP, KETAWA DAN JENAKA RASULULLAH S.A.W.

Sejahtera ke atas kamu wahai semua pembaca.. (^_^)




Membaca kisah Rasulullah s.a.w. memang seronok. Kalau kita hayati betul-betul, insya-ALLAH, boleh jatuh chenta.. Bagus la kan? Memang ALLAH dan Rasul-Nya yang paling layak untuk dicintai dahulu sebelum yang lain-lain... Sesungguhnya segala perbuatan dan percakapan dari Nabi Muhammad s.a.w. adalah sebagai panduan kepada kita, supaya kita jadikan ia sebagai contoh. Bukan setakat suka-suka tahu je, kita kena la ikut sekali. At least cuba. Insya-ALLAH hidup kita lebih mudah dan tenang apabila mengikut sunnah baginda..


Kali ni nak cerita tentang perwatakan-perwatakan Nabi s.a.w. pulak..


1. Rasulullah s.a.w. yang Aktif Berjalan


Nabi s.a.w. kita berjalan sangat aktif dan laju sampai para sahabat kena gigih kejar baginda. :)
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa:
"Aku tidak pernah melihat seorang pun yang terlebih kacak daripada Rasulullah s.a.w. Cahaya dan seri wajahnya seolah-olah matahari itu sendiri memancar di mukanya. Dan aku tidak pernah seorang yang terlalu lasak berjalan selain baginda s.a.w. seolah-olah bumi bergulung untuknya. Jika pada satu masa baginda di sini, sebentar lagi akan kelihatan baginda di sana. Walaupun ada ketika baginda berjalan secara biasa, namun kami yang mengikuti baginda terpaksa melangkah dengan susah-payah (terpaksa berjalan dengan lebih lasak untuk bersamanya)"


Nabi Muhammad s.a.w. tidak jalan berlenggang seperti wanita. Baginda s.a.w. berjalan seolah-olah menuruni tempat tinggi. Sangat lasak dan energetic.
Daripada riwayat Ibrahim ibn Muhammad:
"Ali r.a. menerangkan bahawa apabila Rasulullah s.a.w. berjalan, baginda akan menjatuhkan langkahnya dengan mantap dan bertenaga."







Apabila berjalan, Nabi s.a.w. akan membiarkan para sahabatnya mendahului baginda s.a.w.
Seperti yang diriwayatkan oleh Hind bin Halah:"...Apabila baginda (s.a.w.) berjalan di kalangan sahabat-sahabat, baginda s.a.w. tidak akan mendahului mereka."


Kenapa Rasulullah s.a.w. berjalan di belakang dan bukan hadapan sahabat, sedangkan baginda adalah ketua mereka?
1. Nabi s.a.w. tidak berjalan di hadapan sahabat-sahabatnya disebabkan sifat tawaduk yang dimiliki baginda. Berjalan di hadapan orang lain adalah amalan orang angkuh dan ujub sebagai tanda kemuliaan, taraf dan maruah mereka.2. Nabi s.a.w. juga lebih gemar berjalan di belakang untuk memudahkan baginda membantu sahabat yang memerlukan pertolongan seperti keciciran barang.3. 'Allamah Baijuri mengatakan malaikat-malaikat sentiasa berjalan di belakang Rasulullah s.a.w., oleh itu baginda akan membiarkan sahabat berjalan di hadapan.4. Nabi s.a.w. seorang pembimbing yang pengasih. Apabila berada di belakang, baginda dapat melihat kesalahan dan kekurangan yang dilakukan oleh sahabat lalu membetulkannya.

2. Keindahan Percakapan Rasulullah s.a.w

Rasulullah s.a.w. bercakap dengan jelas, lancar dan padat supaya pendengar dapat memahami dan mengingati sabdanya dengan baik.

Riwayat dari Aisyah R.A.:

"Rasulullah s.a.w. bercakap dengan jelas supaya dengan demikian sahabat-sahabat dapat menghafalnya dengan mudah."

Apabila bercakap, Nabi Muhammad s.a.w. tidak akan bercakap cepat dan akan bertutur dengan lancar sehingga orang yang mendengar akan memahami bahagian-bahagian ayatnya. Baginda s.a.w. akan bercakap dengan jelas supaya orang yang hadir dalam majlisnya akan dapat memahami sebaik-baiknya.

Riwayat dari Anas r.a.:

"Rasulullah s.a.w. kadangkala mengulangi (mengikut keperluan) sabda-sabdanya sebanyak tiga kali supaya para sahabat dapat mengikutinya dengan pengertian."

Riwayat ini bermaksud apabila Nabi s.a.w. ingin menerangkan sesuatu hal yang penting dan rumit, baginda akan mengulanginya sebanyak tiga kali. Pengulangan tiga kali itu merupakan batasannya. Jika tidak baginda hanya akan menyebut sekali.







Nabi s.a.w. seorang yang pendiam. Baginda tidak bercakap kecuali apabila perlu.

Daripada satu riwayat yang panjang, Imam Hasan r.a. menerangkan tentang sifat Nabi s.a.w yang sentiasa tenggelam dalam keresahan memikirkan tentang ALLAH, sifat-sifat-Nya dan Hari Akhirat. Oleh itu baginda jarang bercakap kecuali benar-benar perlu. Percakapan yang ringkas dan membawa pelbagai makna merupakan mukjizat kenabian baginda.


Nabi s.a.w. bercakap dengan sopan dan tidak biadab untuk mengelakkan orang lain tersinggung.
Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah biadab apabila bercakap, walaupun ketika memberi nasihat. Ketika memberi teguran dalam majlis baginda tidak akan menyebut nama sesiapa untuk mengelakkan orang itu dicela oleh orang lain. Nabi s.a.w lebih suka menegur secara umum.

"Tentang dunia dan perkara-perkara duniawi, Rasulullah s.a.w. tidak akan tersinggung tetapi jika perkara itu melampaui batas-batas agama dan kebenaran, seorang pun tidak akan terlepas dari kemurkaannya..."

Nabi Muhammad s.a.w. akan menghukum sesiapa yang bercakap atau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama, namun hukuman itu hanya dilaksanakan selepas bukti-bukti yang kukuh diperoleh.

".. Jika Rasulullah s.a.w. terkejut, baginda akan membalikkan tangannya. Ketika bercakap, baginda akan membuat gerakan isyarat dan kadangkala menepuk telapak tangan kanan dengan telapak tangan kirinya. Jika baginda murka maka baginda akan mengalihkan wajahnya daripada orang itu: sama ada tidak memberi perhatian kepadanya atau memaafkannya. Jika baginda gembira, baginda akan seolah-olah menutup matanya disebabkan kesopanannya. Ketawanya hanyalah senyuman, dan ketika ketawa akan terserlah giginya yang mulia seolah butiran hujan batu yang bercahaya."

3. Ketawa Rasulullah s.a.w yang Menawan









Ketawa Rasulullah adalah senyuman.
Jabir r.a. meriwayatkan bahawa:

"Betis Rasulullah s.a.w. kecil (tidak gemuk) dan ketawanya tidak lebih dari hanya senyuman. Apabila aku menemuinya, aku pernah memikirkan baginda menggunakan celak pada matanya, namun sebenarnya baginda tidak mencalitkan apa-apa celak pada matanya."

Pada tepi kelopak mata Rasulullah s.a.w. ada warna celak yang semulajadi, maka dengan itu mata baginda s.a.w. seolah-olah dikenakan celak.

Abdullah Ibn Harith r.a. meriwayatkan:

"Aku tidak melihat seorang yang lebih banyak senyum daripada Rasulullah s.a.w."

Riwayat ini bermaksud Nabi s.a.w. mempunyai kebiasaan tersenyum daripada ketawa.

Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa setelah keIslamannya, Rasulullah s.a.w. tidak pernah menghalang beliau daripada mengikuti majlis baginda s.a.w., dan bilamana Rasulullah s.a.w. melihat beliau, baginda pernah ketawa.

Dalam hadis lain dinyatakan baginda tersenyum.



Kisah-kisah yang Menyebabkan Rasulullah s.a.w. Ketawa

Daripada riwayat Abu Dzar r.a. terdapat kisah ini:

Pada satu ketika Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku mengetahui orang yang pertama sekali akan masuk ke dalam syurga dan orang terakhir yang keluar darinya..." Baginda pun menceritakan sebuah kisah kepada para sahabat..

" Pada hari kiamat, akan dihadapkan seseorang , maka malaikat yang bertugas akan memperlihatkan dosa-dosa kecil orang itu dan menyembunyikan dosa-dosanya yang besar. "Engkau telah melakukan itu dan ini pada masa itu dan ini.." kata Malaikat. Orang itu membenarkan apa yang dikatakan malaikat. Sebenarnya dia lebih bimbang akan dosa-dosa besarnya. ALLAH s.w.t. pun memerintahkan malaikat supaya memberikan kebaikan kepadanya untuk menggantikan segala kejahatan yang pernah dilakukannya. Apabila mengetahui perintah ALLAH itu, orang itu pun berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku masih mempunyai dosa yang tidak diperlihatkan lagi!"

Selepas itu Rasulullah s.a.w. ketawa sehingga menampakkan gigi gerahamnya.

Satu lagi kisah yang menyebabkan Rasulullah s.a.w. ketawa adalah seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud ini:

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku mengetahui tentang penghuni neraka yang terakhir keluar. Ia adalah seorang lelaki yang keluar dari neraka dengan merangkak..."

Dikatakan kepada lelaki itu: "Masuklah kamu ke dalam syurga."

Orang itu pun masuk ke dalam syurga namun mendapati syurga itu telah penuh. Dia pun mengadu kepada ALLAH s.w.t.: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya syurga itu telah penuh!"

Dikatakan kepada lelaki itu: "Adakah engkau masih ingat pada zaman engkau hidup di dalamnya?"

"Ya," jawab orang itu.

"Berangan-anganlah kamu."

Maka orang itu pun berangan-angan tentang syurga.

Lalu dikatakan kepada orang itu: "Untuk kamu syurga yang luasnya sepuluh kali ganda dunia sebagaimana yang engkau angankan."

Kata lelaki itu: "Engkau memperolok-olokkanku dan Engkau adalah Penguasa."


Selesai bercerita, Abdullah bin Mas'ud mengatakan beliau melihat Rasulullah s.a.w. tertawa (tersenyum) sehingga menampakkan gigi gerahamnya.


Walaupun sering tenggelam di dalam pemikirannya (bertakafur), namun Nabi Muhammad s.a.w. sentiasa tersenyum untuk menghiburkan hati para sahabat yang dikasihinya. Segaris senyuman daripada Rasulullah s.a.w. sudah memadai buat para sahabat untuk mengetahui bahawa perbuatan mereka diterima. Jika baginda terus-menerus tenggelam dalam tafakurnya, maka sudah tentu para sahabat menganggap diri mereka tidak disenangi Nabi s.a.w. Betapa pengasihnya Nabi kita :)







4. Gurauan dan Jenaka Rasulullah s.a.w.




Dibuktikan bahawa Rasulullah juga berjenaka, namun baginda melarang melakukan kelakar yang menyebabkan orang ketawa terbahak-bahak.



Larangan Nabi s.a.w. ini sangat berasas kerana jenaka yang berlebihan akan menyebabkan hati menjadi keras dan tidak mengingati ALLAH s.w.t. Jenaka yang melampau juga boleh membawa kepada penghinaan dan menyinggung perasaan orang lain.


Sifat berjenaka dan periang adalah relevan ada pada Nabi s.a.w. memandangkan baginda merupakan role model dan dikagumi ramai. Jika beliau tidak ramah dan periang, maka mestilah menjadi kesukaran buat orang ramai untuk berhubung dan mengambil manfaat daripadanya. Lebih-lebih lagi, golongan yang bertaqwa dan mulia akan menuruti setiap perlakuan Rasulullah s.a.w. Jika baginda seorang yang tidak senyum dan tidak periang, maka golongan ini juga akan menjauhkan diri mereka dari senyuman dan keriangan. Sikap ini akan memberi kesukaran kepada mereka yang hadir untuk memperoleh keberkatan. Maha Suci ALLAH. Semoga ALLAH sentiasa mencucuri rahmat dan berkatNya yang tidak terhingga ke atas Rasulullah s.a.w. yang telah mempusakai jalan-jalan kemudahan buat umatnya.. :)







Sufyan Ibn Asiyniyah mengatakan jenaka adalah satu sunnah tetapi hanya pada mereka yang tahu masanya dan tahu membuat jenaka yang baik.




Pemilik Dua Telinga
Daripada Anas r.a. meriwayatkan pada suatu masa Rasulullah s.a.w. memanggilnya, "Wahai pemilik dua telinga." Setiap manusia mempunyai dua telinga. Rasulullah s.a.w. mesti mempunyai sebab tertentu untuk memanggil dengan gelaran sedemikian. Kemungkinan beliau mempunyai telinga yang besar atau mempunyai daya pendengaran yang tajam.


Rasulullah s.a.w. Menghiburkan Kanak-kanak
Anas r.a. juga mengatakan Rasulullah s.a.w. memag kerap berjenaka apabila bertemu dengan para sahabat. Pada suatu hari, kebetulan beliau mempunyai seorang saudara yang lebih muda (adik). Baginda s.a.w. pun berjenaka dengannya: "Wahai Abu Umair! Ke mana perginya nughairmu?"Nughair adalah nama sejenis burung yang kecil yang pernah dibela oleh kanak-kanak tersebut.







Berjenaka Bukan Berdusta
Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah berjenaka. Kata Abu Hurairah, "Wahai Rasulullah! Tuan juga berjenaka dengan kami!" Balas Rasulullah s.a.w, "Ya, tetapi aku tidak berkata dusta."



Rasulullah s.a.w. Bermain bersama Zahir Ibn Haram r.a.
Seperti yang diriwayatkan oleh Anas r.a. Ada seorang penghuni hutan bernama Zahir Ibn Haram r.a. Beliau sering membawa hasil hutan seperti sayur-sayuran sebagai hadiah kepada Rasulullah s.a.w. Apabila beliau ingin pulang ke rumahnya dari Madinah, Rasulullah s.a.w. akan memberinya hadiah yang berupa barang-barang bandar yang boleh dimakan.

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Zahir adalah hutanku dan aku adalah bandarnya."

Wajah Zahir dikatakan tidak menarik namun Rasulullah s.a.w. memberi perhatian yang istimewa kepadanya. Pernah suatu ketika Zahir r.a. sedang berdiri menjual barang-barangnya. Rasulullah s.a.w. secara senyap-senyap berdiri di belakang Zahir lalu menangkapnya.

"Siapa ini? Lepaskan aku," kata Zahir. Tetapi Zahir dapat melihat dari ekor matanya bahawa yang mengusiknya adalah Rasulullah s.a.w. Maka secara berhati-hati beliau menekan belakangnya ke dada Rasulullah s.a.w.

"Siapa yang mahu membeli hamba ini?" Tanya Rasulullah s.a.w. secara berjenaka.

"Wahai Rasulullah!" jawab Zahir r.a. "Jikalau tuan mahu menjual saya, tuan hanya akan dapat tawaran harga yang murah disebabkan kecacatan yang saya miliki."

"Tidak," sahut Rasulullah s.a.w. "Di sisi ALLAH s.w.t., kamu tidak ada kecacatan, malahan kamu sangat berharga."





Unta Betina
Anas r.a. menceritakan:

Pada suatu hari seorang lelaki meminta dari Rasulullah s.aw. supaya ia dibawa menaiki kenderaan. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Baiklah, aku akan membawa kamu menaiki unta betina."

"Ya Rasulullah, apakah yang dapat aku lakukan dengan unta betina itu?" kata lelaki itu.

Jawab Rasulullah s.a.w.: "Bukankah unta itu dilahirkan oleh unta betina juga?"


Orang Tua tidak Masuk Syurga
Hasan Basri r.a. menceritakan seorang perempuan tua datang menemui Rasulullah s.a.w.

"Ya Rasulullah! Doakanlah agar ALLAH s.w.t. masukkan aku ke dalam syurga," pinta wanita tua tersebut.

"Orang tua tidak boleh masuk syurga," jawab Rasulullah s.a.w.

Maka pulanglah wanita tua itu sambil menangis. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Beritahulah pada wanita tersebut bahawa dia tidak akan masuk syurga sebagai wanita tua kerana ALLAH s.w.t. akan menjadikan kesemua wanita syurga menjadi anak dara."

Maksud Rasulullah s.a.w., lelaki dan wanita tua tidak akan masuk syurga dengan keadaan diri mereka yang telah lanjut usia dan nyanyuk, sebaliknya akan dimasukkan sebagai jejaka dan wanita muda. ^_^



Firman ALLAH s.w.t:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan itu) lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olok) dan janganlah wanita-wanita memperolok-olokkan wanita lain (kerana) boleh jadi wanita yang (diperolok-olokkan itu) lebih baik daripada (wanita yang memperolok-olokkan itu) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri."

copypaste#

No comments:

Post a Comment